Pertubuhan SAHABAT adalah sebuah entiti mualaf yang berdaftar dengan ROS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak berasaskan keuntungan dan bergerak secara sukarela. Fungsi utama SAHABAT ialah mencari DANA untuk survival Pusat Bimbingan Teratak Fitrah, Rumah Kebajikan Likas dan menggerakkan Khidmat Sosial (amal jariah) serta memenuhi objektif penubuhan SAHABAT. Pusat ini mendapat dokongan yang padu dari JHEAINS, JAKIM, PZS (MUIS), CONCERN (Majlis Gabungan NGO Islam Sabah), NGO, pendakwah bebas dan lain-lain. SAHABAT boleh dihubungi di teratakfitrah@yahoo.com.

Monday, May 31, 2010

KAPAL MISI KEMANUSIAAN GAZA DISERANG: SAHABAT MUALLAF KK MENGUTUK KERAS




SAHABAT mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang dalam perjalanan membawa lebih 10 ribu tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Sebagai langkah awal, SAHABAT MUALAF KOTA KINABALU bersama dengan JIM Sabah akan mengadakan SOLAT HAJAT dan Doa Keselamatan pada malam ini.



Konvoi yang mula berlayar dari Cyprus semalam itu terdiri dari lebih 700 aktivis kemanusiaan pro-Palestin termasuklah seorang pemenang anugerah Nobel serta beberapa ahli politik dari negara-negara Eropah.





Laporan juga menyatakan bahawa terdapat dua orang warga Malaysia – saudara Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip dari Astro Awani – di atas kapal utama konvoi, Mavi Marmara yang diserbu oleh tentera Israel.





Jurucakap Gerakan Pembebasan Gaza yang menganjurkan Freedom Flotilla ini melaporkan bahawa tentera Israel tanpa provokasi terus menembak beberapa individu sejurus selepas menyerbu kapal tersebut.





Dianggarkan seramai 16 orang terbunuh manakala lebih kurang 30 lagi cedera akibat tindakan kejam tentera Israel terhadap manusia yang tidak bersenjata. Setakat ini identiti mangsa belum dapat dikenalpasti.





Sudah hampir pasti Israel akan menggunakan alasan keselamatan untuk mempertahankan tindakan zalim tenteranya, tetapi ia bukan satu alasan yang boleh diterima sama sekali.





Mana mungkin mereka yang mengikuti konvoi ini dianggap sebagai membawa ancaman kepada keselamatan Israel, sedangkan niat mereka hanyalah untuk menjayakan misi kemanusiaan untuk penduduk-penduduk Gaza yang sudah lama merana di bawah sekatan ekonomi Israel.





Di bawah sekatan ekonomi ini, Israel hanya membenarkan 15 ribu tan bantuan kemanusiaan seminggu ke Gaza, sedangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa bantuan ini tidak sampai suku jumlah yang diperlukan oleh para penduduk Gaza.





Apa yang lebih mengejutkan lagi, pembunuhan kejam ini dilakukan di perairan antarabangsa, lebih kurang 65 kilometer dari persisiran Gaza, di mana tentera Israel tiada langsung hak kedaulatan untuk menyerang konvoi kapal tersebut.





Tindakan ini ternyata melanggar peraturan antarabangsa lantas membuktikan sekali lagi bahawa rejim Israel adalah satu rejim zalim laknatullah yang langsung tidak menghormati undang-undang.





Oleh itu, SAHABAT berharap masyarakat antarabangsa akan bersatu mengutuk serangan ini atas prinsip kemanusiaan sejagat. Insiden ini juga merupakan satu ujian kepada kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat di bawah Presiden Barack Obama yang sebelum ini menjanjikan pembaharuan dasar luar yang lebih adil kepada umat Islam.





Sudah tiba masa beliau mengotakan janjinya kepada dunia dengan tidak lagi menyelindungi keganasan sekutunya sepertimana Presiden-Presiden sebelum ini.





SAHABAT juga menggesa Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri bersama rakan-rakan luar yang lain untuk segera mendesak Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap Israel.





SAHABAT menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya dapat kita bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kesemua individu yang menyertai konvoi tersebut, terutamanya saudara Ashwad dan Shamsul agar dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

ABU BAKAR ABDULLAH

Presiden

SAHABAT KK



No comments:

Post a Comment

Selamat Datang