Ketahuilah, bahawa tiada berhak untuk menerima zakat itu melainkan seorang Muslim yang ada padanya salah satu dari sifat-sifat asnaf delapan yang tersebut di dalam al-Quran al-Karim:
1. Fakir: iaitu orang yang tiada harta dan tiada mampu pula bekerja. Barangsiapa yang boleh bekerja akan terkeluarlah ia dari kategori seorang fakir.
Jika ia sedang menuntut ilmu dan yang demikian itu telah menghalangnya dari bekerja maka dikiralah ia seorang fakir dan kekuasaannya untuk bekerja itu tiada dikira.
Tetapi kalau ia seorang ‘abid (beribadat), sehingga ibadatnya itu menghalangnya dari bekerja disebabkan terlalu banyak ibadatnya dan semua waktunya dihabiskan kerana berwirid maka hendaklah ia disuruh supaya bekerja. Sebab membuat pekerjaan untuk mendapatkan sara hidup itu, adalah lebih penting daripada menghabiskan kesemua masanya pada ibadat dan wirid semata-mata.
2. Miskin: iaitu orang yang pendapatannya tidak mencukupi perbelanjaan yang mesti dikeluarkan. Seseorang itu boleh jadi memiliki seribu dirham, padahal ia boleh dikira miskin sedangkan orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah kapak dan sepotong tali, padahal ia boleh dikira kaya.
Demikian pula pondok kecil yang dimilikinya dan sepasang pakaian yang membalut badannya sekadar hal saja, itu semua tidak dapat merampas darinya nama seorang miskin. Begitu juga dengan perkakas-perkakas rumahtangga yang diperlukan di rumah menurut keadaan atau kebiasaan tidak dapat mengeluarkan namanya dari kategori seorang miskin. Termasuk juga kalau ia mempunyai kitab-kitab fiqh yang banyak, kerana tentulah dia berhajat kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum agama.
3. Para amil: iaitu orang-orang yang bekerja untuk mengumpulkan zakat termasuk dalam senarai ini semua orang yang bekerja sebagai kerani, jurukira penyimpan harta zakat dan orang yang bertugas untuk memindahkan harta zakat.
4. Orang yang dibujuk hatinya menganut Islam atau yang dipanggil muallaf; iaitu seorang ketua sesuatu puak yang memeluk Islam, sedangkan ia ditaati oleh kaumnya. Sebab diberikan kepadanya sebahagian daripada zakat, ialah untuk mengukuhkan kepercayaannya kepada Agama Islam dan menggalakkan pula pengikut-pengikutnya dan orang lain sepertinya untuk memeluk Agama Islam.
5. Hamba abdi: iaitu untuk maksud menebus dirinya daripada perhambaan, sama ada dibayarkan harganya kepada tuan punyanya untuk dimerdekakan, ataupun diberikan bahagian zakat itu kepadanya sendiri supaya ia menebus dirinya daripada perhambaan (sekiranya ia hamba mukatab – pent.).
6. Gharim atau orang yang dibebani oleh hutang: iaitu kiranya ia berhutang kerana tujuan-tujuan ketaatan ataupun kerana sebab yang mubah (harus) seperti perbelanjaan ke atas anak-isteri misalnya sedangkan ia di dalam keadaan fakir, tak punya daya untuk membayar hutang itu.
Kiranya ia berhutang kerana tujuan maksiat maka tiadalah ia diberikan dari bahagian zakat itu, melainkan jika ia telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat.
Kiranya ia seorang yang kaya (misalnya mempunyai harta benda – pent.), maka tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang itu kerana faedah dan maslahat orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah dan huru-hara.
7. Orang mujahid atau yang berperang fi-sabilillah: iaitu orang yang tiada menerima apa-apa bayaran berupa upahan atau gaji dari negara, maka diberikan kepada mereka itu satu bahagian dari zakat, meskipun mereka itu tergolong orang-orang yang kaya-raya, kerana pemberian itu adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berperang.
8. Ibnu sabil: iaitu orang yang meninggalkan negerinya untuk mengembara ke negeri orang bukan kerana maksiat, atau kerana terlantar di negeri orang dan tak punya wang untuk kembali, maka bolehlah diberikan kepadanya bahagian zakat, kiranya ia seorang fakir ataupun kiranya ia mempunyai harta di negeri lain, diberikan sekadar belanja untuk sampai ke negeri itu saja.
No comments:
Post a Comment