Pertubuhan SAHABAT adalah sebuah entiti mualaf yang berdaftar dengan ROS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak berasaskan keuntungan dan bergerak secara sukarela. Fungsi utama SAHABAT ialah mencari DANA untuk survival Pusat Bimbingan Teratak Fitrah, Rumah Kebajikan Likas dan menggerakkan Khidmat Sosial (amal jariah) serta memenuhi objektif penubuhan SAHABAT. Pusat ini mendapat dokongan yang padu dari JHEAINS, JAKIM, PZS (MUIS), CONCERN (Majlis Gabungan NGO Islam Sabah), NGO, pendakwah bebas dan lain-lain. SAHABAT boleh dihubungi di teratakfitrah@yahoo.com.

Tuesday, May 3, 2011

Islam Hadari.... apa sudah jadi?



















Berapa tahun yang lalu kita diperkenalkan dengan konsep Islam Hadhari. Walaupun nampak gagasan itu sudah 'kabur-kabur' dalam ingatan, tetapi masih ada intipatinya yang releven, so sekadar refresh minda, mari kita imbau kembali nostalgia berikut"


















Ucapan YB Dato' Dr Abdullah bin Md Zin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di Cairo: Pendekatan Islam Hadhari Di Malaysia: Perancangan dan Hala Tuju

1. PENDAHULUAN

1.1 Sejarah kegemilangan Umat Islam terdahulu telah terbukti dengan kegemilangan dan perkembangan pesat keilmuan islam diera pemerintahan Islam di Madinah, zaman Khulafa al-Rashidin, bani Umayyah dan bani Abasiyah. Kegemilangan itu terus tersebar luas hingga ke benua Eropah yang memperlihatkan ketamadunannya di Andalusia. Pada Abad ke dua belas telah berlaku keruntuhan kerajaan islam yang juga turut mengaitkan imej masyarakat Islam dengan kemunduran , kemiskinan dan kedaifan di kacamata dunia. Umat Islam seolah-olah tidak berdaya untuk bangun menunjukkan kehebatannya seperti dimasa yang lampau. Sesungguhnya umat Islam bukan satu umat yang tidak boleh bangkit semula membetuli keadaan dan imej tetapi mereka tidak boleh berfikir jauh kerana fikiran mereka dijajah oleh penjajah ratusan tahun lamanya menyebabkan mereka tidak berani mengkaji, mengubahsuai, membuat suatu pembaharuan kerana bimbang menyalahi agama dan adat resam. Mereka juga tidak dikejutkan dengan lontaran semangat supaya berubah mengubah nasib kepada cara dan corak kehidupan yang lebih berkualiti.



1.2 Justeru itu, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi tampil dengan satu pendekatan yang bijak dan menyeluruh iaitu memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang bertujuan untuk membawa rakyat kearah kehidupan yang lebih terarah dan berjaya serta membawa Negara kepesada Antarabangsa dengan kekuatan imej yang disegani oleh dunia . Beliau ingin supaya cara berfikir rakyat berubah jauh kehadapan merantasi zaman, kualiti hidup yang sentiasa bertambah baik , system pertahanan yang kemas dan setanding dengan orang lain. ekonomi domestic yang kukuh dan berkembang, golongan minority mendapat jaminan pembelaan dan hak untuk turut sama menikmati arus pembangunan serta Budaya ilmu dan integriti menjadi amalan masyarakat. Semua ini disatukan dalam satu pendekatan dan disebarkan kepada semua rakyat dibawah pimpinannya tanpa mengira agama bangsa dan warna kulit untuk dihayati dan laksanakan dalam masyarakat di Malaysia.

2. LATAR BELAKANG

2.1 Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajahan INGGERIS PADA 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Malaysia, sebagai seorang Melayu beragama Islam, telah berjaya meyakinkan para pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada kaum Cina dan India untuk memasukkan satu peruntukan dalam Perlembagaan tentang Islam sebagai agama rami Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni.

2.2 Pada peringkat awal aktiviti keagamaan yang dijalankan dalam Negara merdeka, pada umumnya merupakan aktiviti yang lebih menekankan tentang ritual, seperti majlis tilawah al-Quran dan menekankan lebih kepada aspek memperkasakan fardu ain.


2.3 Usaha Perdana Menteri pertama menubuhkan badan dakwah yang khusus untuk menjelaskan pengertian Islam kepada rakyat bukan Islam juga telah mencapai kejayaan yang baik kerana usaha ini dilihat sebagai agenda yang baik untuk mendidik saudara Islam yang baru dalam memahami ajaran Islam yang betul dan hubungannya dengan orang lain, khususnya dalam Negara yang berbilang kaum dan agama di Malaysia.

2.4 Usaha meningkatkan dakwah dan syiar agama Islam ini diteruskan oleh Perdana Menteri Malaysia seterusnya secara lebih meluas, merangkumi pelajaran agama yang telah dimasukkan ke dalam arus perdana Dasar Pendidikan Negara, penubuhan badan yang mentadbir hal ehwal Islam malah penubuhan badan urusan haji dan sokongan kepada badan dakwah. Penubuhan badan-badan tersebut telah menjadi teras kepada perkembangan Islam di Malaysia melalui bidang pendidikan, ekonomi dan dakwah.

3. KENAPA ISLAM HADHARI DIPERKENALKAN

3.1 Islam Hadhari diperkenalkan di Malaysia dalam suasana dimana dunia Islam dan umatnya masa kini telah dilabelkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai pengganas, militan, miskin dan mundur.

3.2 Ini kerana setelah sekian lama Negara-negara umat Islam dijajah oleh barat, kebanyakan dari kalangan alim ulama serta para cendikiawan di Negara Islam hanya melihat ketamadunan Islam dari sudut akidah dan ibadah semata-mata. Mereka lebih suka membahaskan perkara-perkara furu’ dan khilafiah yang akhirnya umat Islam berpecah sesama sendiri dan berlaku peperangan saudara sehingga kini tiada sebuah Negara umat Islam pun yang mampu membuktikan bahawa umat Islam sebagai “khaira ummah”.

3.3 Disebabkan Negara-negara umat Islam masa kini dipandang hina dan rendah oleh Negara bukan Islam di atas kelemahan dari sudut penguasaan ilmu pengetahuan dan juga kemunduran dalam aspek pembangunan, maka Malaysia telah mengambil daya inisiatif untuk membangunkan dan mengembalikan semula ketamadunan umat berasaskan pendekatan Islam Hadhari.

3.4 Justeru, pengumuman oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Mentewri Malaysia kelima untuk melaksanakan pengurusan dan pembangunan Malaysia berasaskan kepada pendekatan Islam Hadhari pada masa ini amat bertepatan dalam usaha Malaysia menjadi sebuah Negara Islam maju mengikut acuan sendiri menjelang 2020.

4. DEFINISI

4.1 Dari segi istilah, perkataan “hadhari” membawa maksud “yang bertamadun” atau “Islam yang menekankan aspek tamadun”. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai “Civilizational Islam”, dan dalam bahasa Arab sebagai “al-Islam al-Hadhari”.

4.2 Dari segi pentakrifan pula Islam Hadhari secara lengkap ialah: “Suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam”.

Dari definisi tersebut dapatlah dihuraikan bahawa Islam Hadhari bermaksud;

a. Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh berbanding pendekatan Islam secara juz’i atau terpisah-pisah seperti Islam bersifat politik (Islam al-Siyasi), Islam bersifat tasawuf (Islam al-Sufi) dan seumpamanya.
b. Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa focus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran alaf baru seperti ledakan maklumat, dunia tanpa sempadan, ekonomi global, budaya meterialsme, krisis identiti, jati diri serta penjajahan pemikiran.
c. Pendekatan Islam Hadhari, tidak menolak pentingnya aspek ritual dalam pembinaan tamadun. Ini kerana pandangan hidup, sistem nilai, kestabilan jiwa dan kemajuan rohaniah merupakan tonggak kepada pembinaan tamadun yang luhur.


5. VISI

5.1 Visi Islam Hadhari adalah “untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam Contoh, iaitu sebuah negara maju mengikut acuan sendiri”.

5.2 Konsepnya ialah negara yang mempunyai masyarakat membangun dan memiliki ilmu, berkemahiran dan berketrampilan serta tergambar sebagai golongan yang berakhlak, berbudi dan berbudaya yang berpaksikan kepada kepercayaan Agama.


6. MISI

Islam Hadhari dari segi misinya ialah; “Melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal, maju, bertamadun, bertoleransi dan berimbang”.

7. OBJEKTIF

Objektif Islam Hadhari adalah; “Melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual (rohani), akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, beradaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai”.

Berdasarkan kepada definisi, visi, misi dan objektif tersebut jelaslah bahawa Islam Hadhari merupakan satu konsep yang menekankan antaranya dasar hidup yang komprehensif yang memacu kemajuan kehidupan manusia dalam segala urusan kehidupannya yang membentuk hubungan manusia dengan Penciptanya, manusia dengan manusia, manusia dengan makhluk dan manusia dengan alam sekitarnya.

Justeru Islam Hadhari bukan mazhab baru tetapi ia adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas- kepada fundamental menurut ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara jelas sama sekali tidak memesong mana-mana umat Islam daripada asas akidah yang mereka pegang selama ini.

8. 10 PRINSIP UTAMA ISLAM HADHARI

8.1 Bagi menjana pembangunan yang seimbang dan pengintegrasian antara kemajuan duniawi dan juga persiapan ukhrawi, Islam Hadhari memberi penekanan kepada 10 prinsip seperti berikut;
i. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.
ii. Kerajaan adil dan beramanah.
iii. Rakyat berjiwa merdeka.
iv. Penguasaan ilmu pengetahuan.
v. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.
vi. Kehidupan berkualiti.
vii. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
viii. Keutuhan budaya dan moral.
ix. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.
x. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.
8.2 Pendekatan Islam Hadhari yang menggariskan 10 prinsip asas tersebut boleh diterima pakai dalam semua keadaan tanpa mengira masa, tempat dan perbezaan agama dan kaum. Semua prinsipnya sentiasa relevan dalam urusan kehidupan harian. Prinsip yang digariskan perlu diterapkan sepenuhnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang seimbang dari semua aspek pembangunan rohaniah dan jasmani. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud;
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan ) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari apai neraka”.

8.3 Prinsip-prinsip tersebut diadun supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang-bilang agama dan kaum. Pendekatan yang digariskan adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.

8.4 10 prinsip Islam Hadhari juga dirangka bagi merangsang ke arah perubahan minda umat Islam secara menyeluruh dan sistematik yang tidak bersifat sektor atau partisan yang sudah semestinya memerlukan satu perubahan pandangan global umat Islam. Selaras dengan itu konsep hidup sebagai pengabdian kepada tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan akan ditekankan, khususnya dalam memenuhi prinsip-prinsip matlamat pensyariatan Islam (maqasid al-syariah) yang sentiasa berkembang dan antara lain yang menjadi pokok seperti; menjaga, memartabat dan memperkasa;

· Agama
· Akal
· Nyawa
· Harta
· Keturunan
· Maruah

8.5 Keenam-enam maqasid tersebut hanya dapat dicapai apabila perubahan sikap dan budaya umat diubah melalui perubahan konsep berijtihad dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsir secara lebih luas meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti ekonomi dijadikan budaya. Sementara Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberi pengiktirafan.

8.6 Masyarakat Malaysia perlu diberi kefahaman Islam yang membolehkan mereka menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global. Semangat persaudaran perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing serta menghayati sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain.

8.7 10 Prinsip tersebut akan menjadikan Masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang mempunyai jati diri dari segi penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Seterusnya memperbetuli sebarang salah faham terhadap konsep kemajuan agar tidak berlaku pemisahan antara tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah.




9. PERANCANGAN DAN HALATUJU
Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk membangunkan negara dan rakyatnya kearah yang lebih baik. Hasrat murni ini tidak mungkin tercapai tanpa ada satu perancagan dan halatuju yang betul dan terarah. Maka dengan sebab itu, perancangan yang dibentuk perlu didahului dengan pembinaan dan pembentukan modal insan, yang mempunyai keyakinan yang kukuh kepada pegangan agama masing-masing terutama sekali masyarakat Islam. Kekukuhan perpaduan , kekuatan mental dan fizikal akan membantu Malaysia membangun dengan perancangan dan halatuju pendekatan Islam Hadhari dengan tepat.


10. ANTARA PERANCANGAN DAN HALATUJU PENDEKATAN ISLAM HADHARI ADALAH INGIN MEMBANGUNKAN NILAI-NILAI SELARAS DENGAN PRINSIP ASAS ISLAM HADHARI
Di antara Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan dalam 10 prinsip Pendekatan Islam Hadhari adalah seperti berikut;
(i) Keimanan dan ketaqwaan Kepada Allah
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan;
(a) Keimanan yang mantap
(b) Ketaqwaan yang menyeluruh
(c) Pegangan agama yang teguh
(d) Pengamalan kolektif nilai-nilai murni
(e) Masyarakat yang beragama berteraskan
prinsip Rukun Negara

(ii) Kerajaan Adil dan Beramanah
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Pentadbiran yang adil bagi semua rakyat
(b) Urus tadbir yang berkesan, telus, amanah, ikhlas,
tekun dan bertanggungjawab
(c ) Kebajikan rakyat terpelihara
(d) Berjimat cermat mengelak pembaziran

(iii) Rakyat Berjiwa Merdeka
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Semangat jati diri
(b) Berfikiran terbuka
(c) Tidak terbelenggu kesan penjajah
(d) Kreatif dan inovatif
(e) Mampu bersaing
(f) Berdaya maju
(g) Berdikari
(h) Berusaha menerima perubahan
(i) Tidak taksub dengan budaya lama yang melemahkan

(iv) Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Umat yang cintakan ilmu
(b) Menjadi bangsa peneroka ilmu
(c) Mendalami ilmu fardhu ain
(bagi rakyat beragama Islam)
(d) Menguasai semua bidang ilmu fardhu kifayah
(e) Bersedia meninggalkan ilmu-ilmu negatif yang
Boleh merosakkan akidah
(g) Membina masyarakat melalui pendekatan ilmu
(h) Memantapkan integrasi ilmu melalui program
dwi pengkhususan


(v) Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Umat yang mengambil berat tuntutan fardhu kifayah dalam bidang ekonomi
(b) Umat yang maju dalam bidang ekonomi
(c) Negara yang maju dan berkat
(d) Mengelak pembaziran dalam aktiviti ekonomi
(e) Mengutamakan golongan kurang berkemampuan
(f) Negara membangun berasaskan ekonomi yang halal
(g) Keseimbangan ekonomi antara bandar dan luar bandar
(h) Kerjasama kondusif antara sektor awam dan swasta
(i) Memberi keutamaan kepada ekonomi yang berkait dengan keperluan asasi rakyat
(j) Mengelak penindasan dalam aktiviti ekonomi

(vi) Kehidupan Berkualiti
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Menjadikan ibadat asas kehidupan berkualiti
(b) Tempat tinggal yang selesa
(c) Persekitaran yang selamat
(d) Kehidupan yang sihat
(e) Keluarga yang harmoni
(f) Pemakanan yang berkualiti
(g) Masyarakat yang penyayang
(h) Prasarana yang lengkap dan sempurna
(i) Memberi perhatian kepada OKU

(vii) Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Memberi perhatian kepada kumpulan
etnik dan minoriti
(b) Memberi keadilan yang sewajarnya
kepada kaum wanita
(c) Memberi perhatian kepada ibu tunggal

(viii) Keutuhan Budaya dan Moral
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan ;
(a) Memperteguhkan dan memelihara budaya berdasarkan nilai-nilai Agama dan prinsip Rukun Negara
(b) Membangun moral masyarakat berdasarkan nilai-nilai murni
(c) Menangani secara berkesan budaya yang negatif

(ix) Pemuliharaan Alam Semulajadi
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan;
(a) Kesedaran dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah
(b) Pemuliharaan alam semulajadi yang berkesan
(c) Pembangunan sumber alam untuk perkara kebaikan
(d) Mengelak pembaziran sumber alam
(e) Mengekal keindahan alam
(f) Memelihara sumber air dan udara yang berkualiti
(g) Melindungi habitat kehidupan flora dan fauna

(xi) Kekuatan Pertahanan
Ciri dan nilai yang ingin dibangunkan;
(a) Membina ketahanan rohani dan jasmani
melalui modal insan
(b) Menyemarakkan semangat patriotik
dan cintakan Negara
(c) Memiliki sistem pertahanan terbaik dan disegani
(d) Membangun kekuatan pertahanan
berasaskan teknologi

10. ISLAM HADHARI DAN PELAKSANAANNYA.

10.1 Kerajaan menyedari bahawa Islam bukanlah suatu agama yang bersifat ritual semata-mata tetapi agama yang bersifat praktikal yang diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik. Pendekatan Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan dan pembinaan peradaban yang didasarkan pandangan semesta alam (Worldview) dengan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan dan fizikal. Islam Hadhari bertujuan membina semula warisan tamadun Islam yang memperlihat kegemilangan umat Islam dalam semua bidang serta menjadi pendorong bagi memajukan ummah secara menyeluruh.

10.2 Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020. Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan 'mainstream' negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami Inilah rahsia yang tersurat di sebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.

10.3 Pendekatan Islam Hadhari membuktikan keupayaan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh yang sentiasa mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah), sesuai dengan tuntutan agama Islam. Ia selaras dengan dasar-dasar Negara yang dilaksanakan pada masa kini dan yang akan dicapai pada masa hadapan seperti Wawasan 2020, Dasar Pembangunan Negara dan sebagainya. Pendekatan Islam Hadhari menekankan nilai-nilai pembangunan sejagat yang sama sekali tidak bercanggah dengan konteks masyarakat majmuk.

10.4 Perancangan Kerajaan dalam melaksanakan pendekatan Islam Hadhari di kalangan rakyat dalam segenap aspek yang dinyatakan di atas merupakan tanggungjawab dan satu usaha amal soleh. Ini kerana usaha yang sedemikian termasuk dalam kategori memudahkan kesulitan orang ramai. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayat oleh Muslim yang bermaksud;'Sesungguhnya salah seorang daripada kamu adalah teladan kepada saudaranya. Apabila ia mengetahui kesusahan saudaranya maka hendaklah ia berusaha menghilangkannya.'

10.5 Dari itu kerajaan Malaysia telah mengadakan perancangan lima tahun Pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari 2006 – 2010 dalam pengurusan dan pentadbiran Negara. Ia melibatkan semua kementerian dan Jabatan diseluruh Negara. Pelaksanaan ini akan diteruskan lima tahun ke lima tahun selepas tahun 2010.

10.6 Dalam perancangan lima tahun pelaksanaan Islam Hadhari tersebut mengupas secara terperinci bagaimana untuk melaksanakan pendekatan islam Hadhari berdasarkan 10 prinsip tersebut. Sebagai contoh untuk melaksanakan prinsip pertama iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Allah maka semua kementerian dan jabatan telah merangka program atau aktiviti kursus untuk memantapkan iman dikalangan anggota pekerja mereka. Program yang dilaksanakan ini dipanggil program Bina Insan atau Bina Taqwa yang dilengkapkan dengan modul kursus, para penceramah, jadual kursus, peruntukan kewangan dan sebagainya.


10.7 Perancangan lima tahun ini diteruskan selepas 2010 sehingga Negara Malaysia mencapai matlamatnya iaitu sebuah Negara yang maju dan bertamaddun dan rakyat mencapai tahap yang terbaik dan termaju didunia dalam perspektif ketamaddunan dan kemajuan rohani serta jasmani secara sepadu.



11. ISLAM HADHARI; PENERIMAAN DUNIA GLOBAL


11.1 Pendekatan Islam Hadhari telah diterima di peringkat antarabangsa dan ada yang mencadangkan ia diperluaskan dan dijadikan satu pemikiran Islam secara global. YAB Perdana Menteri telahpun memberi penjelasan berkenaan Islam Hadhari di Pakistan, India, Jeddah, Universiti Oxford, Australia serta di New Zealand.

11.2 Dari ucapan yang disampaikan, YAB Perdana Menteri telahpun memulakan usaha untuk mengupayakan umat Islam (capacity building) yang ada dalam Negara OIC terutama dalam Negara Islam yang daif dan miskin dari segi ekonomi. Beliau bercadang untuk mewujudkan beberapa Negara Islam yang berupaya mencetuskan gerakan-gerakan ke arah mengupayakan umat Islam di Negara-negara OIC yang ada pada hari ini yang tergolong dalam Negara yang miskin dan lemah.

11.3 Ini berdasarkan fakta betapa negara anggota pertubuhan itu hanya meliputi 6% daripada keseluruhan perdagangan global dengan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah 5% daripada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia malah keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara anggota OIC pada 2003 adalah di bawah AS$152juta. Jumlah pendapatan yang amat rendah di kebanyakan negara Organization Islamic Conference(OIC) Inilah menjadi sebab mengapa 22 daripada 57 negara ini diklafikasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) sebagai mempunyai pembangunan yang rendah.


12. PENUTUP

Pendekatan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia adalah satu rancangan jangka panjang untuk melihat masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam dalam konteks yang sangat luas. Sementara bagi masyarakat yang bukan beragama Islam, Islam Hadhari akan menjadi satu pendekatan dalam mengharmonikan kefahaman mereka terhadap kehidupan dalam sebuah negara yang ada pelbagai agama dan bersilang budaya tapi mampu menjana kehidupan yang baik dan aman.










Ucapan ini diambil dari:


No comments:

Post a Comment

Selamat Datang